Masyarakat Indo-Afrika Orang_Belanda_Hitam

Koperal Belanda B. van Weenen (kiri) dan Koperal Afrika J. de Leeuw

Perekrutan orang Afrika berakhir pada tahun 1872 selepas Elmina diserahkan kepada Britain. Walau bagaimanapun ramai anggota tentera Afrika yang telah berkahwin dengan wanita peribumi memilih untuk tinggal di Hindia Timur selepas tempoh perkhidmatan mereka tamat.[26] [nota 4] Ini menjadikan Jawa tempat yang mempunyai masyarakat Indo-Afrika yang tetap utuh dan berkembang di kampung-kampung tertentu sehingga Perang Dunia Kedua. Majoriti masyarakat Indo-Afrika tinggal di Semarang, kemudian diikuti oleh bandar garison Purworejo di Jawa Tengah, di mana Raja Willem III telah memperuntukkan sebidang tanah bagi orang Afrika pada tahun 1859.[26] Purworejo bahkan masih mempunyai rekod pembaptisan keluarga Katolik Indo-Afrika tersebut.[27] Selain itu, keluarga Indo-Afrika juga tinggal di bandar-bandar garison lain seperti Batavia, Salatiga, Surabaya, dan Yogyakarta [26] Secara tradisinya ramai ahli lelaki masyarakat ini yang berkhidmat dalam Tentera Hindia, dan profesion tentera biasa diteruskan daripada bapa ke anak lelakinya. Ini menjelaskan kehadiran orang Afrika Barat yang berterusan dalam tentera Belanda di Aceh mahupun perekrutan berakhir pada tahun 1872.[9]

Perkhidmatan mereka juga direkodkan dalam senarai tertentu. Sebagai contoh, dalam rekod tahun 1896 dinyatakan dua kematian ini: Penembak Afrika W. Denk dengan nombor pendaftaran 35700 meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya pada 11 Ogos 1896 semasa lawatan ke Lepong dan Lohong, dan Sarjan Afrika J. Boon dengan nombor pendaftaran 18401 meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya pada 24 Ogos 1896 semasa lawatan di XXII Mukim.[28] Sebaliknya, ada juga direkodkan bahawa Pieter Hermans berjaya menjadi Leftenan Muda pada akhir tahun 1837, dua kali menerima sebutan khas, dan juga mendapat Pingat Gangsa Keberanian dan Kesetiaan.[29][nota 5]

Sebahagian kecil daripada tentera Afrika kembali ke Elmina selepas perkhidmatan mereka tamat, di mana mereka menetap di sebuah bukit di belakang kubu Saint George.[30] Bukit itu diberi nama Java Hill, dan ia merupakan tempat peringatan pengalaman mereka.[26] Dari Hindia Timur mereka membawa bahan-bahan batik, yang menjadi begitu popular di Ghana dan bahagian Afrika Barat lainnya, sehingga terbentuk pasaran untuk batik tiruan yang pada tahun 1876 mula dibekalkan oleh syarikat Belanda Vlisco.[31][32]

Selepas kemerdekaan Indonesia, sebahagian besar waris tentera Afrika berpindah ke Belanda. Sebilangan masyarakat ini masih berhubung dan melakukan pertemuan di Belanda, melalui Indo-Afrika Kontakt Foundation (Yayasan Perhubungan Indo-Afrika).[8] Pada tahun-tahun kebelakangan ini, kumpulan ini semakin berada dalam tumpuan utama. Pameran Zwart in dienst van Oranje (Si Hitam dalam perkhidmatan Oren) dibuka pada 12 Mei 2005 di Tropenmuseum, Amsterdam.[33] Pada bulan Julai tahun yang sama, karya penulisan Ineke van Kessel bertajuk Zwarte Hollanders: Afrikaanse soldaten in Nederlands-Indiƫ (Belanda Hitam: Tentera Afrika di Hindia Timur Belanda) terbit,[19] diikuti dengan Zwarte huid, Oranje hart. Afrikaanse KNIL-nazaten in de diaspora (Kulit Hitam, Hati Oren: KNIL Keturunan Afrika dalam Diaspora) pada tahun 2010 karya Griselda Molemans dan jurugambar Armando Ello.[34]

Jan Kooi, Belanda Hitam yang paling terkenal

Lukisan Jan Kooi, dilukis pada tahun 1882 di Harderwijk oleh Johan Coenraad Leich (Koleksi Bronbeek)

Jan Kooi ialah seorang koperal Afrika yang mencapai kemasyhuran di Belanda untuk aksi-aksi beraninya yang mengagumkan dalam Perang Aceh, iaitu perang yang paling lama, paling berdarah, dan paling tidak muktamad dalam sejarah kolonial Belanda. Kooi dilahirkan di St. George d'Elmina, di Pantai Barat Afrika.[3] Nama aslinya kemungkinan besar dianggap "tak terkata"; sehinggakan beliau serta ramai anggota tentera Afrika Barat lainnya diberi nama-nama panggilan Belanda.

Jan Kooi ialah seorang askar yang berani.[3] Pada 31 Januari 1878, beliau menyelamatkan nyawa Kapten Bloom dengan membunuh dua orang pejuang Aceh, sedangkan dirinya sendiri menderita daripada luka akibat serangan musuh.[35] Beliau juga berjaya merebut sepuluh laras meriam musuh. Tidak lama selepas itu, pada 25 Julai 1878, beliau kembali menyelamatkan nyawa Leftenan van Bijlevelt dengan membunuh seorang pejuang Aceh yang bersenjatakan kelewang dan tombak pada masa kritikal. Untuk jasanya itu, beliau mendapat anugerah 100 guilder Belanda. Selain itu, diketahui pula bahawa pada 26 April 1879, Kooi dan dua tentera Afrika lainnya (Bilk dan Jaap) berjaya menangkis serangan terhadap sebuah konvoi.[36] Atas Dekri Kerajaan Nombor 29 bertarikh 2 Mac 1878, Kooi dianugerahi pingat Kesatria Kelas 4, Darjah Tentera Willem, iaitu untuk "Atjeh 1877". Beliau merupakan askar Afrika Barat pertama yang berjaya mendapatkan kepujian tertinggi dalam ketenteraan Belanda itu.[37] Lebih lanjut lagi dalam kerjayanya, Kooi juga mendapatkan sebutan khas, Pingat Kraton, serta Salib Ekspedisi Militer.[2]

Selepas perkhidmatannya, Kooi kembali ke kampung halamannya di St. George d'Elmina, yang kini telah diserahkan kepada British, melalui Depoh Limbungan Kolonial di Harderwijk, Belanda. Semasa singgah di Harderwijk, dua potretnya telah dilukis: potret rasmi oleh J.C. Leich, dan potret impresionistik oleh Isaac Israels.[2][19] Ketika itu, Kooi berusia 33 tahun.[37] Menurut satu rencana dalam mingguan Overveluwsche Weekblad, Kooi mampu bercakap dalam bahasa Belanda dengan sempurna, dan beliau sering berucap tentang kerinduannya terhadap tanah airnya.[36] Potret minyak Jan Kooi, yang dibuat pada bulan Februari tahun 1883 oleh J.C. Leich disimpan di Muzium Bronbeek, bekas istana Diraja di Arnhem, Belanda.[37]

Rujukan

WikiPedia: Orang_Belanda_Hitam http://epress.lib.uts.edu.au/journals/index.php/Tf... http://books.google.com/books?id=zWoMfgmS8WkC http://media.kompasiana.com/ http://media.kompasiana.com/buku/2012/01/31/sejara... http://books.google.co.id/books?ei=eoIZVObzBsTJuAT... http://books.google.co.id/books?ei=j6pHVN6aLcyxuQS... http://books.google.co.id/books?ei=uEcpVPemNoqKuAT... http://books.google.co.id/books?id=N4_on188WJwC&pg... http://books.google.co.id/books?id=b_K2AAAAIAAJ&q=... http://books.google.co.id/books?id=fr4hAQAAIAAJ&q=...